Wednesday, April 21, 2010

selamat bertemu kembali...


assalamu'alaikum warahmatullahi wabarokatuh...

apa khabar sahabat-sahabat sekalian..?!rindukan saya tak?!adoi..sudah lama tak menjenguk blog ni dan jugak menulis entri terbaru...hohoho...nak kata sibuk, orang lain pon sibuk tapi boleh je update blog..tapi kenapa saya tak boleh update..?!sebabnya...M.A.L.A.S...ye malas...semenjak, dua, tiga, empat menjak ni...saya telah diserang oleh virus malas...bahaya woo virus ni...sbb virus ni, tesis tak siap-siap lagi smpai skrg...studi pon tunggang-langgang...ibadah pon cau cin cai...astaghfirullahal'azim...jadi untuk entri pertama ni, saya ingin mengajak diri saya dan sahabat-sahabat semua sama-sama muhasabah diri kita...jom baca entri yg tak seberapa ni dan ambil pengajaran daripadanya...moga kita menjadi hamba yg lebih baik.....


Muhasabah diri merupakan satu proses timbal balik atau post mortem dalam menilai diri kita sendiri. Muhasabah diri amat digalakkan dalam Islam kerana ia membolehkan kita membetulkan dan meningkatkan amalan-amalan kita dan seterusnya mencapai mardhotillah (keredhaan Allah). Itulah sebenar-benar tujuan kita hidup di dunia ini. Apabila seseorang melakukan muhasabah diri di dunia, maka di akhirat kelak dia akan memperolehi keberuntungan yang besar. Ini sesuai dengan firman Allah SWT yang bermaksud :

“Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kamu kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat)….” (Surah Al-Hasyr : 18)

Dalam ayat tersebut, jelas menunjukkan kepada kita isyarat dari Allah SWT agar kita selalu melakukan muhasabah terhadap amalan-amalan kita untuk menghadapi hari di mana kita akan ditanya segala apa yang telah kita perbuat di dunia.

Umar Al-Khattab pernah berkata : “Muhasabahlah dirimu sebelum kamu diperhitungkan, timbanglah amal perbuatanmu sebelum kamu ditimbang.”

Diceritakan bahawa Saidina Umar Al-Khattab memukul kedua tapak kakinya dengan cemeti pada setiap malam dan berkata kepada dirinya sendiri “Apa yang telah anda kerjakan pada hari ini?”

Orang sehebat Saidina Umar, yang telah dijamin masuk syurga, melakukan muhasabah terhadap dirinya setiap hari. Bagaimana pula kita sebagai manusia biasa, yang tiada jaminan lagi akan memasuki syurga Allah boleh begitu sombong dan mendabik dada tidak mahu menilai diri kita. Adakah kita rasa amalan kita telah cukup baik dan telah mengatasi segala amalan buruk kita? Adakah kita yakin segala amalan kita diterima oleh Allah SWT? Kalau jawapannya adalah TIDAK, mengapa kita sukar untuk melakukan muhasabah terhadap diri sendiri? Jawapannya ada pada diri kita sendiri.

Maimun bin Mahran pernah berkata: “Seseorang hamba itu tidak dapat dimasukkan ke dalam golongan orang yang bertaqwa, sehingga ia membuat muhasabah pada dirinya sendiri lebih teliti daripada kawannya yang juga membuat muhasabah pada dirinya.”

Di sini kita dapat fahami bahawa muhasabah diri tidak boleh dilakukan secara caca merba sahaja. Ia perlu dilakukan dengan menyerahkan sepenuhnya hati dalam menghisab diri sendiri dan dengan lapang dada dan penuh rasa rendah diri mengakui segala kesilapan dan kesalahan kita samaada di hadapan manusia apatah lagi di hadapan Pencipta kita, Allah SWT. Dengan itu, akan wujudlah rasa ketakwaan dalam jiwa kita hasil daripada rasa kesedaran yang tinggi bahawa kita hanyalah hamba yang lemah dan hina di sisi Allah Yang Maha Kuasa.

Bagaimana caranya untuk memuhasabah diri…? Dari mana kita hendak mula? Abu Abdullah bin Qayyim al-Jauziyyah rahimahullah menerangkan dalam melakukan muhasabah terhadap diri :

Pertama sekali, kita harus mulakan dengan memuhasabah segala kewajipan yang telah diamanahkan kepada kita. Jika ada yang kurang, segera lengkapkan baik dengan cara qadha atau menambahbaikkan amalan kita.

Yang keduanya ialah kita muhasabah terhadap perbuatan-perbuatan kita yang melanggar larangan Allah. Jika ada, hendaklah segera bertaubat, beristighfar dan membuat kebaikan untuk menghapuskan dosa.

Seterusnya, muhasabah terhadap kelalaian kita. Jika kita menyedari bahawa kita telah lalai dan alpa, segera berzikir dan pusatkan diri hanya pada Allah SWT.

Yang terakhir, muhasabah terhadap percakapan, pendengaran, penglihatan, perbuatan dan hati kita. Jika ada yang tidak kena, segera bertaubat dan memohon keampunan Allah. Semua ini akan ditanya oleh Allah di hari pembalasan kelak sesuai dengan firman-Nya dalam surah Al-Isra’ ayat 36 yang membawa maksud:

“Dan janganlah kamu mengikuti sesuatu yang tidak kamu ketahui. Kerana sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati nurani, semua itu akan diminta pertanggungjawabannya.”

Dalam surah lain Allah berfirman,
“Maka demi Tuhanmu, Kami pasti akan menanyai mereka semua, tentang apa yang telah mereka kerjakan dahulu.” (Surah Al-Hijr : 92-93)

Oleh itu, ayuhlah sahabat-sahabat sekalian, kita bersama-sama menghitung diri kita. Adakah kita di kalangan orang yang berjaya iaitu orang yang hari ini lebih baik dari semalam? Atau kita di kalangan orang yang terpedaya di mana hari ini sama dengan semalam? Atau mungkin juga kita orang yang celaka iaitu orang yang hari ini lebih buruk dari semalam? Na’udzubillahi min zaalik…pada golongan manakah kita berada? Hanya diri sendiri yang dapat menjawab soalan itu.

Sama-samalah kita menghisab diri kita sebelum Allah menghisab akan amalan kita. Semoga kita tergolong dalam golongan orang-orang yang benar-benar mendapat keredhaanNya. Jadilah seorang hamba yang mencela dan mengutuk dirinya kerana ia dapat menyelamatkan kita dari rasa ‘ujub dan riya’ dan ia juga membuka jalan untuk kita merasa tunduk dan lemah di hadapan Allah SWT.
Barangsiapa tidak mahu mencari aib dirinya, maka ia tidak dapat menghilangkannya. Muhasabahlah diri kita, insyaAllah kita akan dapat menanggalkan daki-daki keaiban pada diri kita. Allahu a’lam…

p/s:sebenarnya entri ni saya dah pernah post ke blog lagi satu lama dahulu...bila bukak-bukak balik blog tu terjumpa entri ni...so saya postkan pulak ke blog ni sebagai entri pembuka untuk kebangkitan diri saya dari sifat malas...boleh percaya ke ni?! Allahu'alam.. huhuhuhuhu... insyaAllah...doakan saya terus istiqamah ye sahabat2 sekalian...jazakumullahu khairan kathiran..sehingga berjumpa lagi pada entri seterusnya...insyaAllah.. (^_^)...wassalam
 

SeBuaH pErJaLanaN Copyright © 2008 Green Scrapbook Diary Designed by SimplyWP | Made free by Scrapbooking Software | Bloggerized by Ipiet Notez